SEJARAH MASJID |
LATAR BELAKANG PENUBUHAN MASJID AL-MUTTAQIN Masjid al-Muttaqin ini terletak di dalam kawasan perumahan Taman Ria iaitu dalam Mukim Sungai Petani di daerah Kuala Muda/Yan. Masjid al- Muttaqin ini mula di bina pada awal tahun 1995 dan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1996 dengan menelan belanja sebanyak 1. 5 juta ringgit dan didirikan di atas tapak surau yg lama. Majlis ini disiap dibina dengan terdiri daripada 2 tingkat bangunan solat, 2 tingkat bangunan pendidikan, dewan utama, bilik mesyuarat, bilik dan lain-lain lagi. Kedudukan masjid ini terletak di antara kawasan perumahan, kilang-kilang dan sekolah berasrama penuh, bangunan kerajaan serta Institut Kemahiran Mara. Masjid ini menjadi tempat penumpuan anak qaryah dan orang awam untuk menunaikan solat dan menyertai pelbagai kegiatan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid ini. KEMUDAHAN ASAS Masjid al-Muttaqin ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang lengkap untuk memudahkan jemaah-jemaah masjid untuk beribadah. Antara kemudahan yang disediakan oleh Masjid Al-Muttaqin ialah bilik air untuk lelaki dan perempuan. Kemudahan wuduk utama juga disediakan dan juga menyediakan cermin muka dilekatkan di sinki dan dihadapan tandas. Di samping itu, kemudahan ruang solat juga terdapat di atas tingkat untuk jemaah perempuan sementara tingkat bawah untuk jemaah lelaki sahaja. Kawasan ruang solat boleh menampung sebanyak 2000 orang pada satu masa. Kemudahan telekung dan sejadah juga disediakan untuk orang awam yang datang untuk menunaikan solat di masjid ini. Dari segi bacaan, masjid ini mempunyai rak al-quran pada setiap tiang dalam masjid ini. Masjid ini mempunyai perpustakaan yang berhawa dingin. Terdapat pelbagai jenis bacaan juga disediakan disamping kemudahan komputer. Semua bahan bacaan ini adalah ihsan daripda Jabatan Penerangan Negeri Kedah dan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah serta sumbangan orang ramai. Peralatan lain yang turut disediakan didalam masjid ini seperti peralatan untuk mandi mayat dan menguruskan jenazah dimana masjid ini sendiri mempunyai sebuah bilik pengurusan jenazah. Peralatan yang terdapat ialah kain kafan, kapas, tab memandikan jenazah dan lain-lain lagi. Selain itu, masjid ini mempunyai sebuah kereta jenazah untuk memudahkan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan. Selain itu juga, masjid ini turut menyediakan peralatan untuk mengadakan kenduri seperti khemah, kawah, pinggan mangkuk, meja, kerusi dan lain-lain sama ada untuk kegunaan masjid sendiri ataupun disewa untuk kegunaan orang ramai dan apa yang lebih menarik lagi ialah masjid ini sendiri memiliki kumpulan catering yang terdiri daripada ajk dan qaryah masjid. Ini dapat membantu sekiranya pihak masjid atau individu yang ingin membuat sebarang jamuan. Di samping itu, Masjid Al-Muttaqin ini juga mempunyai dewan seminar dibuka kepada anak qaryah dan orang awam. Dewan seminar juga mempunyai berhawa dingin, meja, kerusi , speaker dan sebagainya untuk menjalankan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid, kerajaan , swasta mahupun badan bukan kerajaan. AKTIVITI MASJID Masjid Al-Muttaqin Taman Ria juga menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian untuk anak-anak qaryah dan orang awam. Kuliah Subuh diadakan pada setiap Jumaat manakala Kuliah Wanita khas untuk golongan ibu mahupun belia juga diadakan pada setiap hari kecuali hari Khamis. Di samping itu, Kuliah Maghrib diadakan pada Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, dan Rabu kecuali hari Khamis dan Jumaat. Golongan ibu juga berpeluang menyertai kelas kuliah Wanita selepas solat Asar. Bagi menjayakan kuliah agama ini, Masjid ini menjemput para penceramah luar dan penceramah yang disegani. Di samping itu, Sekolah Pendidikan Islam ( SPI ) / KAFA juga menyediakan Kelas fardu ain untuk kanak-kanak diadakan setiap hari mengikut hari persekolahan. Ia diadakan dalam 2 sesi iaitu sesi pagi bagi bagi murid tahun 1 hingga 3 dan sesi petang bagi murid tahun 4 hingga 5. Sekolah Pendidikan Islam ini diadakan di bahagian bangunan pendidikan masjid ini. Sejumlah 7 bilik darjah dibuka untuk 2 sesi tersebut. Seramai 13 orang ustaz dan ustazah ditugaskan untuk mendidik mereka dalam bacaan al-quran, ilmu fekah, tauhid, tajwid, sirah dan bahasa Arab. Masjid Al-Muttaqin merupakan sebuah masjid yang mempunyai bangunan pendidikannya sendiri. Maahad Tahfiz juga ditubuhkan untuk bermatlamatkan melahirkan generasi Ulama dan Hafiz Al-Quran yang berketrampilan dan mengamalkan berteraskan Al-Quran. Maahad Tahfiz akan memulakan pengajian pada Januari 2014 dan tempoh pengajian antara 3 hingga 5 tahun. Bakal pelajar akan didedahkan dengan kaedah hafazan serat pelajaran tajwid oleh pengajar. Antara kemudahan ialah asrama, bilik belajar dan hafazan, dewan makan dan riadah di dalam masjid ini. Maahad Tahfiz ini dapat melahirkan anak-anak muda menjadi insan cemerlang didunia dan di akhirat. |
This article comes from Al-Muttaqin Taman Ria http://almuttaqintria.a-masjid.com The URL for this story is: http://almuttaqintria.a-masjid.com/modules/content/index.php?id=5 |